SHAH ALAM – Kes insiden letupan saluran paip gas Putra Heights, Subang Jaya dekat sini akan dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata, ia akann diadakansetelah sesi penerangan dan pembentangan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam taklimat khas berkaitannya selepas sesuai sidang DUN hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mendengar dan menggulung perbahasan daripada keseluruhan ADUN Selangor berhubung insiden tersebut pada sidang kali ini.
“Seperti yang saya nyatakan ada perbahasan selepas ini dengan sebelah petang Menteri Besar akan berjumpa dengan semua ahli dewan untuk memberi taklimat.
“Kemudianya, dewan akan bersidang semula. Kita semua akan mengambil bahagian dalam perbahasan ini dan kerajaan akan memberi penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan (dalam perbahasan),” katanya pada sidang DUN Selangor, hari ini.
Terdahulu, Dr. Afif Bahardin (PN-Taman Medan) mengemukakan rayuan daripada 20 penama iaitu mangsa yang terkesan akibat insiden letupan pada 1 April itu supaya perkara berkenaan dibincangkan pada persidangan DUN Selangor kali ini.
Ketua Pembangkang, Mohamed Azmin (PN-Hulu Kelang) juga tidak bersetuju dengan petua dikeluarkan oleh Weng San berhubung status pengundian penduduk di Putra Heights dalam rayuan tersebut dan menegaskan Perkara 18 penting berbanding soalan-soalan kepada Menteri Besar.
Weng San menjelaskan, perkara berkenaan tidak benarkan dibentangkan berikutan bertindih dengan permohonan yang telah pun difailkan oleh Amirudin untuk membentangkan perkara berkenaan pada persidangan kali ini.
“Sebab utama kenapa rayuan itu tidak dibenarkan kerana sudah ada permohonan daripada Menteri Besar untuk membincangkan perkara ini yang membolehkan lebih ramai partisipasi daripada semua ahli dewan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan taklimat tersebut akan turut disertai Jawatankuasa Teknikal meliputi polis, Jabatan keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan beberapa pihak lain yang memberikan penjelasan kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya maklumat yang diperoleh mereka adalah tepat. – KOSMO!ONLINE