DUN Selangor: 1,020 pelajar ada tanda awal berisiko tinggi murung

4 hours ago 3

SHAH ALAM – Seramai 1,020 pelajar sekolah menengah di Selangor didapati mempunyai tanda-tanda awal kategori berisiko tinggi mengalami kemurungan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, dapatan itu hasil saringan terhadap 36,428 pelajar menerusi instrumen analisis minda sihat (PHQ).

Katanya, ini mewakili sebanyak 2.8 peratus daripada jumlah keseluruhan yang telah menjalani saringan tersebut.

“Berdasarkan Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid Sesi 2024/2025 Negeri Selangor menunjukkan tingkah laku psikososial negatif di kalangan murid dalam keadaan terkawal.

“Tahap kemurungan murid diukur menggunakan instrumen PHQ menunjukkan seramai 1,020 daripada 36,428 pelajar sekolah menengah yang telah disaring mempunyai tanda-tanda awal kategori berisiko tinggi,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) yang ingin mengetahui kesihatan mental pelajar.

Jamaliah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama memaklumkan program intervensi dilaksanakan dan diperluas secara menyeluruh ke sekolah rendah, khususnya melibatkan murid Tahun 5 dan Tahun 6.

Tegasnya, hasrat utama daripada intervensi minda sihat yang dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran awal tentang kepentingan kesihatan mental serta membina daya tahan diri dalam kalangan murid.

“Fokus intervensi adalah kepada pembangunan emosi dan tingkah laku, aktiviti pencegahan awal, latihan pemerkasaan Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah rendah.

“Ini dilakukan melalui bengkel kemahiran intervensi minda sihat Antara Intervensi Umum dan Amalan Gaya Hidup Sihat yang dijalankan adalah Sesi Bimbingan,Teknik Relaksasi, Latihan Pernafasan, Senaman dan Urutan Bahu dan Leher,” katanya.

Jelasnya, kesemua langkah ini diambil sebagai usaha pencegahan awal dan memperkukuhkan kesejahteraan mental murid dari peringkat asas bermula dari sekolah rendah. – KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |