PETALING JAYA – ‘Allah sahaja yang tahu perasaan kami sekeluarga saat ini’
Demikian luahan adik kepada Allahyarham Mohammad Azim Izat, 32, yang merupakan antara mangsa enam beranak yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah dilihat terapung di permukaan air, hari ini.
Menerusi satu hantarannya di media sosial, dia meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan sepanjang proses pencarian ahli keluarganya yang hilang sejak Sabtu lalu.
“Saya bersyukur dengan kuasa tular yang membantu kami sekeluarga mencari keluarga abang yang hilang sejak dua hari lepas bermula pagi Sabtu.
“Buat masa ini, saya mohon berikan ruang pada kami kerana hanya Allah yang tahu perasaan kami ketika ini,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Dalam pada itu, dia turut memohon agar orang ramai mendoakan kekuatan buat anak saudaranya, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kini sekelip mata kehilangan ibu bapa serta adik-beradiknya.
“Doakan anak sulung mereka, kakak Qisya diberikan kekuatan luar biasa,” tambahnya.
Dia juga turut menyifatkan pemergian ahli keluarganya itu sebagai satu kehilangan besar kerana hubungan mereka sangat rapat.
“Arwah sekeluarga sangat baik dan rapat dengan saya, suami dan anak. Tak terungkap ketika ini, Allah sahaja mampu balas segalanya. Syukur pengangkhiran mereka terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan enam beranak yang hilang sejak Sabtu lalu dijumpai tidak bernyawa di dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah, hari ini.
Mereka dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri sebaik kenderaan yang dinaiki terjunam ke dalam sungai tersebut di sini namun gagal.
Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri serta empat anak berusia enam bulan hingga sembilan tahun.-KOSMO! ONLINE