‘Dia agresif dulu tanpa sebab munasabah’

7 hours ago 3

PETALING JAYA – Seorang individu tampil memberi penjelasan berhubung video pertelingkahan panas antara sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas yang tular baru-baru ini.

Dalam satu komen yang ditinggalkan pada hantaran semula penyanyi rap, Caprice di Instagram, lelaki tersebut yang merupakan salah seorang penunggang basikal mendakwa pemandu bas terbabit bertindak secara agresif tanpa sebarang sebab yang munasabah.

“Kejadian ini berlaku di jalan utama menuju ke Paya Jaras, bukan lebuh raya seperti yang disangka ramai. Video itu pun bermula selepas bas bunyikan hon dan mencelah melepasi kami, hanya beberapa inci dari terkena.

“Pemandu bas itu sebenarnya ada ruang di lorong kanan, tetapi dia pilih untuk tidak mengelak, memang agresif dengan sengaja,” katanya.

Lebih mengejutkan, dia turut mendakwa pemandu bas itu tiba-tiba berhenti, keluar dari kenderaan sebelum cuba menendang salah seorang penunggang basikal dalam kejadian tersebut.

“Dia yang berhenti dulu, bukan kami. Dia juga yang mula-mula menjerit dan bertindak kasar,” ujarnya.

Tambahnya, rakaman video menunjukkan mereka menggunakan laluan belakang tanpa menghalang lalu lintas seperti didakwa sesetengah pihak.

“Kami faham ramai yang tidak puas hati dengan penunggang basikal di jalan raya. Tapi dalam kes ini, memang dia yang agresif. Malah, kami dapat tahu dia pernah terima aduan sebelum ini dari penunggang lain di kawasan sama,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen menjadi ‘medan perang’ netizen yang rata-ratanya panas hati dan menyelar tindakan kumpulan tersebut.

“Kau ingat ini jalan kau ke, orang lain main basikal juga. Satu baris sudahlah, menyusahkan orang,” komen Akibshah.

“Buat sesak jalan, ‘single lane’ tak apalah, jangan ‘double lane’,” kata Hairi.

“Bagi saya tak kisah lah hobi mahal juta-juta pun. Tetapi tolonglah ‘ride’ dekat tempat sepatutnya yang tak menyusahkan orang lain dan membahayakan diri,” tulis Mate Biru.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan aksi pergelutan melibatkan sekumpulan penunggang basikal dan seorang pemandu bas di Jalan Bestari Jaya, Kuala Selangor selepas didakwa berpunca daripada insiden penunggang basikal yang menunggang melebihi garisan jalan tular di media sosial.

Video yang dimuat naik di TikTok oleh @Slmanfrish, memaparkan situasi tegang apabila kedua-dua pihak bergaduh mulut di bahu jalan dengan dakwaan bahawa pemandu bas bertindak agresif terhadap kumpulan penunggang tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |