Datuk antara lima didakwa terima jutaan ringgit hasil aktiviti haram

6 hours ago 3

SHAH ALAM – Lima individu termasuk berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima wang jutaan ringgit hasil daripada aktiviti haram menerusi sebuah syarikat pelaburan.

Tertuduh iaitu Datuk Suhaila Semaru, 41; adiknya, Suraya, 37; Mohamad Noor Syauqi Mohammad Shafiee, 30; Muhammad Wahbah Az-Zuhaili Mohd. Arriffin, 33; dan adiknya, Muhammad Syaabil Ajwad, 26.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzin.

Berdasarkan 22 pertuduhan, Suhaila sebagai pengarah syarikat XFOX Market Sdn. Bhd. didakwa menerima dan memiliki wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya dianggarkan RM13 juta. Wang itu antaranya dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat pelaburan berkenaan dan akaun bank miliknya.

Suraya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pula berdepan 10 pertuduhan sama termasuk memindahkan wang dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11.1 juta. Mohamad Noor Syauqi, Muhammad Wahbah dan Muhammad Syaabil Ajwad masing-masing didakwa bagi empat, tujuh dan lapan pertuduhan terutama menerima wang kira-kira RM2.5 juta, RM10.3 juta serta RM58 juta.

Pada prosiding sama, Suhaila, Suraya dan Mohamad Noor Syauqi turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan predikat iaitu menyetujui terima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen sah.

Timbalan Pendakwa Raya Bank Negara Malaysia (BNM), Nurdeenie Abd. Rashid dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mencadangkan kos ikat jamin RM1 juta dengan syarat tambahan iaitu penyerahan pasport tertuduh kepada mahkamah.

Namun, peguam Mohd. Haziq Dhiyaudin Razali memohon pengurangan dengan mengambil kira faktor semua anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada BNM dan polis sepanjang proses siasatan dan tiada risiko untuk melarikan diri.

Muhamad Anas kemudian membenarkan ikat jamin RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |