KAJANG – Kerajaan mengumuman dasar baharu berhubung pelesenan dan pengawalseliaan kenderaan rekreasi atau recreational vehicle (RV) apabila ia dibenarkan digunakan untuk tujuan komersial termasuk sewaan pandu sendiri dan industri pelancongan bermula 1 Januari 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dasar baharu itu akan membuka ruang lebih luas kepada sektor pelancongan negara yang sebelum ini terhad kerana hanya membenarkan penggunaan RV bagi tujuan persendirian.
“Sehingga 22 Ogos lalu, sebanyak 1,405 buah RV telah didaftarkan untuk kegunaan persendirian. Namun dasar sedia ada mengekang potensi besar sektor pelancongan.
“Bagi RV persendirian sedia ada sebelum 31 Disember 2025, ia boleh dikomersialkan dengan syarat tidak melebihi usia 15 tahun dan lulus pemeriksaan teknikal JPJ,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah pembinaan pejabat baharu JPJ Cawangan Kajang di sini, hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan dasar itu akan dilaksanakan secara single window bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi memastikan keselamatan pengguna serta menarik pelaburan asing.
“Sudah ada syarikat Jerman menyatakan minat untuk membuka kilang pemasangan RV di Malaysia. Dengan kerangka undang-undang yang jelas, kita yakin ia mampu menjadikan negara sebagai hab pemasangan RV di rantau ASEAN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony turut mengumumkan projek pembinaan pejabat baharu JPJ Cawangan Kajang bernilai RM22.7 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada 7 April 2027.
Bangunan dua tingkat berkeluasan 2,678 meter persegi itu dibina di lokasi strategik di jalan utama Kajang–Semenyih serta bakal dilengkapi kemudahan moden bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan JPJ.
“Walaupun kerajaan menggalakkan urusan secara dalam talian, pejabat ini tetap penting sebagai akses fizikal untuk kemudahan orang ramai,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE