BERASAL dari Borneo tidak menghalang impian, bahkan menguatkan semangat tiga penyanyi, Aidyl Hr, Pika dan Pikabu untuk melestari hasrat masing-masing menembus pasaran arus perdana.
Kini hadir dengan single kolaborasi baharu berjudul Way, ketiga-tiga pemuzik itu berharap dipertemukan rezeki dan peluang untuk bakat mereka terus dijulang di pentas yang lebih luas.
Kata komposer lagu Way, Jonathan Tse atau dikenali sebagai j0n, tahap kebersediaan dia dan tiga rakan lain untuk menerjah arus perdana sentiasa terbuka dan sekalipun itu berlaku, dia akan memastikan persaudaraan dengan para pemuzik di Borneo akan terjaga.
“Sebenarnya berat hari juga untuk tinggalkan Sabah. Ini tempat saya bertemu isteri dan juga membina keluarga.
“Saya pun sudah tidak lagi muda. Jadi, saya rasa inilah waktu paling tepat untuk mengembangkan muzik di Kuala Lumpur sekali gus menembusi arus perdana.
“Bagaimanapun, kalau dapat bina nama di Kuala Lumpur, kawan-kawan di Sabah tidak akan sesekali dilupakan. Bahkan, kami ingin membawa yang lain sama-sama berkongsi bakat mereka lebih meluas,” katanya.
Persaudaraan
Sementara itu, Pikabu yang lebih sinonim dengan muzik hip hop berharap Way dapat diterima ramai meskipun nama mereka masih terlalu asing di persada muzik arus perdana.
“Apa yang saya harapkan daripada Way ini agar dapat membuka jalan buat kami dikenali dan dapat diterima semua pendengar.
“Alhamdulillah, baru-baru ini dapat jadi finalis Anugerah Lagu Indie. Dengan peluncuran Way harap dapat terus memecah arus perdana perlahan-lahan, insya-Allah,” katanya yang berasal dari Brunei.
Way menjadi lambang kepada perjuangan seseorang dalam mengejar impian serta melunaskan cita-cita tinggi dalam diri. Melodi dan liriknya mungkin kedengaran ringkas, namun mesejnya sangat mendalam.
Lagu tersebut turut mendapat sentuhan adalah Ejump Jeffrey, Aidyl Hr, Pikabu sebagai penyumbang liriknya.
Jamming, dua tahun
J0n berkongsi banyak hal menarik yang berlaku di sebalik pembikinan lagu itu. Hakikatnya, mereka mengambil masa dua tahun untuk benar-benar bersedia melancarkan Way secara rasmi.
“Sebenarnya lagu ini tercetus apabila kami mengadakan acara ‘jamming’ di Labuan. Ilhamnya adalah berkenaan mengejar peluang dalam apa jua hal seperti kerjaya mahupun perniagaan.
“Kemudian idea itu berkembang menjadi sebuah lagu yang santai dan ceria. Namun begitu, bahagian Aidyl dan Pikabu tetap ada suntikan emosi yang mampu menyentuh pendengar,” katanya.
J0n menyifatkan Way sebuah karya teramat istimewa kerana perjalanan untuk merealisasikannya berwarna-warni. Daripada pemilihan penyanyi hinggalah proses rakaman, dia berasa puas.

Aspek terpentingnya tidak lain menggabungkan tiga penyanyi yang masing-masing membawa nuansa unik. Persahabatan yang terjalin sesama mereka turut menjadi tunjang keberhasilan lagu itu.
Berkongsi lanjut mengenai pembikinan Way, j0n mengakui prosesnya mengambil masa kerana rakaman dibuat berasingan. Produksinya dilakukan dari Kota Kinabalu dan Labuan.
Apapun, dia seronok dan percaya gabungan tiga penyanyi itu berpadu dengan sempurna. Mereka serlahkan keunikan tersendiri dalam Way menjadikan karya ini lebih besar maknanya.
Berbakat
“Pika penyanyi asal Labuan, bekas guru, kerap membuat persembahan bersama band korporat di Labuan. Vokal hebatnya sangat sempurna dengan lagu ini.
“Aidyl pula memang berbakat, bersungguh dan saya pun pernah kerja bersamanya sebelum ini. Pikabu memiliki anugerah bakat dalam bahasa Kedayan dengan stail unik.
“Ketiganya terus sepakat sukakan demo lagu ini dan bekerja dengan mereka memang sangat mudah serta menyeronokkan,” katanya yang ditemu bual HibGlam menerusi Zoom baru-baru ini.
Diterbitkan di bawah label Lab One Entertainment atau Lab1e, Way menjadi lagu debut daripada syarikat terbabit.
Jadi, besar harapan j0n agar karya tersebut berjaya mendapat tempat di hati ramai.
Dia sentiasa memasang impian ingin membuktikan Lab1e mampu mengangkat karya hebat ke peringkat lebih tertinggi khususnya di arus perdana. Misinya besar untuk memikat pendengar seluruh Malaysia.
“Ini adalah lagu pertama dilancarkan Lab1e yang berpangkalan di Labuan. Semoga pelancaran ini menjadi batu loncatan untuk kejayaan yang lebih mekar di depan buat Lab1e.
“Paling penting, semoga Way mampu menghibur, diterima baik, dinikmati, serta dirasai semua rakyat Malaysia,” katanya menoktahkan bicara.