Carolan tidak sedia beri alasan

8 hours ago 6

ERA baharu skuad hoki lelaki negara bermula dengan mesej jelas apabila ketua jurulatih, Brandon Carolan tidak lagi memberi ruang kepada sebarang alasan menjelang siri kejohanan penting tahun ini.

Menurutnya, barisan pemain hanya mempunyai tempoh kira-kira enam bulan untuk benar-benar mencapai tahap terbaik sebelum kemuncak sebenar di Sukan Asia, sekali gus menuntut komitmen penuh daripada semua pemain.

“Seperti yang kami katakan, kami tidak mahu lagi sebarang alasan. Tempohnya hanya enam bulan dan pemain perlu bersedia menjelang September. Sama ada sukar atau tidak, kami perlu hadapinya dan bekerja lebih keras,” katanya.

Carolan menjelaskan, pendekatan lebih tersusun diperkenalkan termasuk pemantauan rapi prestasi pemain, selain memastikan aspek teknikal dan pertahanan diberi perhatian utama dalam setiap sesi latihan.

“Latihan sahaja tidak mencukupi, kami perlu menentang pasukan terbaik dunia. Itu satu-satunya cara untuk memastikan kami benar-benar bersedia. Kami mahu berada pada tahap kompetitif apabila berdepan pasukan besar,” jelasnya.

Nada sama turut disuarakan pengerusi jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan, Datuk Najmi Razak yang menegaskan pemain perlu memahami tanggungjawab besar apabila diberi peluang menyarung jersi kebangsaan.

“Tiada lagi alasan selepas ini. Pemain perlu sedar mereka bermain untuk negara, membawa maruah dan bendera kebangsaan. Peluang ini bukan untuk semua orang, jadi mereka yang terpilih perlu merebutnya dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan skuad negara kini berada dalam fasa baharu dengan fokus sepenuhnya terarah kepada perancangan ke hadapan, tanpa lagi dibayangi isu atau pencapaian lampau.

Barisan kejurulatihan telah merangka jadual padat bermula dengan kempen Piala Negara-Negara di Cape Town pada Jun, diikuti aksi Piala Dunia di Belgium pada Ogos sebelum kemuncak di Sukan Asia di Jepun pada September.

Read Entire Article
Pertanian | | | |