
- Oleh ROSALWANI CHE SOH
- 23 September 2025, 3:59 pm
KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meliwat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah inap desa di Machang dekat sini pada Jun lalu.
Tertuduh, Nazelimi Che Ibrahim, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual telah meliwat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun empat bulan di sebuah inap desa di Labok, Machang dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang pada Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE