Budak sekolah buat karangan guna perkataan Indonesia

11 hours ago 6

PETALING JAYA – Seorang guru meluahkan kekecewaan terhadap penulisan karangan pelajarnya dalam peperiksaan, termasuk penggunaan istilah daripada bahasa negara jiran (Indonesia).

Menerusi perkongsian Cikgu Gja di Instagram, dia berkata, meskipun sesetengah perkataan yang digunakan terdapat dalam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun penggunaannya perlu tepat dan sesuai dengan konteks.

“Banyak yang cikgu jumpa dalam karangan awak (pelajar) ini, memang dalam bahasa Melayu ada perkataan yang kamu guna itu, tetapi ia ada penggunaan yang lebih sesuai,” katanya menerusi video tersebut.

Dalam pada itu, guru tersebut turut menasihatkan ibu bapa dan pelajar agar lebih peka terhadap kandungan yang ditonton di media sosial kerana ia boleh mempengaruhi penulisan serta pemahaman bahasa.

“Kurangkan tonton ‘content’ (kandungan) bahasa Indonesia, jangan terbawa-bawa dalam karangan awak kerana ia salah.

“Bagi ibu bapa pula, cikgu bebel bukan suka-suka jadi tolonglah pantau apa yang anak anda tengok, apa yang mereka tengok, itulah yang mereka tulis,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran itu.

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan guru turut berkongsi pengalaman sama apabila pelajar menggunakan perkataan atau struktur ayat bahasa Indonesia dalam tugasan mereka.

“Ya betul itu, penat saya nak betulkan. Hari ini saya minta murid bina ayat dan dia buat ayat ‘saya pergi berjalan ke kebun binatang bersama ‘kakek’, nenek dan ‘tante’ saya. Rasa nak marah tapi kena sabar,” ujar Ilhaam Azeekr.

“Cikgu, kejadian macam ini pun jadi di tabika saya. Pagi nak main kejar-kejar pencuri dan polis, sekali saya tanya siapa yang tangkap pencuri dan mereka jawab ‘pak polisi’ nak nangislah rasa,” komen Zetazahri.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa juga meluahkan kebimbangan terhadap lambakan kandungan berbahasa asing di platform digital, yang menyukarkan pemantauan mereka.

“Kandungan bahasa Indonesia terlalu banyak dan mengarut. Pernah sekali anak saya buka saluran kartun Indonesia, terus saya jerkah mereka,” kata Sakinah Shamsu.

“Saya pun geram dengan anak saya, boleh pula dia cakap ‘Mama, jangan lewat sini’ aku fikir apa yang lewat rupanya jangan lalu dekat situ. Alahai anak,” balas Nurul Iffariza. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |