Bintang Olimpik, jaguh dunia rebut Anugerah SAM

7 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Bahang perebutan gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 kian terasa apabila menyaksikan pertembungan sengit antara pemenang pingat Olimpik dan jaguh-jaguh dunia.

Anugerah berprestij itu bakal menemukan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; ratu tenpin boling, Sin Li Jane; bintang wushu, Tan Cheong Min; pemain No. 1 dunia boling padang, Farah Ain Abdullah dan pelari menara, Soh Wai Ching; 

Kategori Atlet Para Terbaik juga tidak kurang hebatnya dengan tumpuan terarah kepada jaguh para badminton, Cheah Liek Hou dan ‘raja powerlifting’, Bonnie Bunyau Gustin.

Kedua-duanya mengintai peluang merangkul trofi itu buat kali ketiga, namun laluan mereka bakal digugat tiga nama besar olahraga para iaitu Ziyad Zolkefli ( lontar peluru); Datuk Latif Romly (lompat jauh) dan Eddy Bernard (pelari pecut T44).

Pemenang bagi kedua-dua anugerah utama itu yang akan diadakan pada 14 Julai nanti bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.

“SAM sentiasa berusaha untuk mengiktiraf dan mengangkat perjuangan rakan media sama ada cetak, elektronik atau dalam talian.

“Matlamat adalah satu, untuk memartabatkan sukan negara dan menjalinkan hubungan positif dengan pemegang taruh. Media bukan hanya menulis, tetapi turut menyumbang idea untuk kemajuan sukan tanah air,” kata Presiden SAM, Norismadi Abd. Manap.

Bagi menyemarakkan lagi anugerah kali ini, barisan kepimpinan SAM bersetuju menaikkan hadiah kemenangan bagi anugerah kewartawanan utama, Anugerah Siebel daripada RM7,000 kepada RM10,000.

Anugerah Pengulas Sukan Popular yang diperkenalkan tahun lalu turut menerima suntikan semangat apabila ganjaran dinaikkan kepada RM3,000 berbanding RM2,000. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |