Bintang Kill Bill meninggal dunia akibat serangan jantung

6 hours ago 6

DITEMUI tidak sedarkan diri, pelakon filem Kill Bill, Michael Madsen disahkan meninggal dunia di kediamannya di Malibu, California, awal pagi tadi.

Aktor berusia 67 tahun yang menyerlah menerusi naskhah filem arahan Quentin Tarantino itu dipercayai mengalami serangan jantung selepas tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.

Pengurusnya, Ron Smith berkata, pemergian Madsen merupakan kehilangan besar buat dunia hiburan kerana beliau bukan sekadar pelakon, bahkan seorang penyair dan pencinta seni sejati.

“Michael antara pelakon paling berkarisma yang dikenang menerusi watak antihero selain merupakan penulis puisi hebat.

“Beliau juga sempat menyiapkan buku puisi bertajuk Tears for My Father: Outlaw Thoughts and Poems,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang hampir empat dekad karier seninya, Madsen sudah terbabit dalam lebih 300 projek filem dan televisyen, selain memiliki 18 projek filem bebas yang dirancang sebelum pemergiannya.

Terdahulu, mendiang Madsen kerap berlakon di bawah arahan Tarantino sejak sekitar 1990-an termasuk menerusi The Hateful Eight serta Once Upon a Time in Hollywood.

Watak ikoniknya dalam filem arahan Tarantino adalah sebagai Mr. Blonde seorang penjenayah psiko kejam dalam Reservoir Dogs selain Budd iaitu adik kepada watak antagonis utama dalam dua naskhah Kill Bill.

Selain itu, Madsen juga membintangi banyak filem popular lain seperti Sin City, Thelma & Louise, Donnie Brasco dan Die Another Day yang menyerlahkan bakat luar biasanya.

Begitupun, sisi peribadinya yang kehilangan anak lelakinya, Hudson Madsen tiga tahun lalu dikatakan berubah selepas puteranya meninggal dunia di Hawaii sehingga meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

Selain filem, beliau juga terlibat dalam dunia permainan video dengan menyumbangkan suara untuk Grand Theft Auto III, serta menghasilkan beberapa koleksi puisi.

Dilahirkan pada 25 September 1957 di Chicago, Madsen merupakan anak kepada seorang anggota bomba dan pembikin filem.

Beliau juga merupakan abang kepada pelakon terkenal, Virginia Madsen.

Madsen pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan enam cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |