ALOR GAJAH – Seorang ibu tunggal dan kekasih barunya ditahan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang bayi perempuan berusia 15 bulan di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini malam tadi.
Kejadian terbongkar kira-kira pukul 11 malam selepas pihak Hospital Tampin melaporkan menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terdapat kesan lebam pada perut dan belakang badan.
Menurut sumber, pemeriksaan juga menemui kesan kecederaan pada bahagian dubur mangsa.
“Bayi itu telah dibawa ke hospital oleh ibu kandungnya berusia 24 tahun dan teman lelakinya berusia 20 tahun pada pukul 11 malam selepas mangsa dikatakan tidak sedarkan diri pada pukul 10.30 malam.
“Pemeriksaan pada bayi tersebut bagaimanapun menjumpai kesan kecederaan disyaki didera dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan awal suspek wanita mendakwa dia telah membawa bayinya dari rumah di Kampung Anak Air Durian Daun, Tampin, Negeri Sembilan ke tempat kerja teman lelakinya di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini kira-kira 6.30 petang semalam.
“Ibunya kemudian keluar untuk membungkus makanan meninggalkan kekasihnya itu yang juga seorang pemain muzik bersama mangsa yang merupakan anak tunggal hasil perkahwinan terdahulu.
“Sebaik pulang semula ke kedai, wanita itu mendakwa dia telah menidurkan bayinya pada pukul 10 malam dan menyedari mangsa pengsan ketika ingin balik ke rumahnya di Tampin pada pukul 10.30 malam,” katanya.
Ujarnya lagi, suspek wanita yang telah bercerai sejak tahun lalu kemudian membawa bayinya ke hospital sambil ditemani kekasihnya itu.
Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh. – KOSMO! ONLINE