Bau busuk sampai ke tingkat atas, bawah pangsapuri – Jiran

6 hours ago 4

GEORGE TOWN – Penghuni yang tinggal berdekatan kediaman wanita yang ditemui maut bersama anak perempuannya berusia dua tahun di sebuah bilik tidur utama di pangsapuri Jalan Bukit Gambir di sini, semalam mendakwa mereka mula terhidu bau busuk sejak 21 Jun lalu.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 50-an berkata, hampir sebilangan besar penghuni dihantui dengan bau yang kurang menyenangkan dari aras atas sehinggalah ke pekarangan bawah blok berkenaan.

Dakwanya yang tinggal lebih 20 tahun lalu di situ, aduan mengenai perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan namun situasi tersebut semakin ketara pada minggu ini.

“Petang semalam, saya terkejut melihat banyak kereta polis datang ke sini. Rupanya bau busuk sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila mayat dua beranak itu ditemui di bilik utama di hadapan ‘sliding door’.

“Apa yang kami tahu, wanita tersebut dikatakan menyewa di kediaman itu dan hanya tinggal berdua dengan anaknya setelah suaminya dikatakan ditahan polis.

“Kami jarang sekali menemuinya tetapi ada penghuni mendakwa kali terakhir terserempak dengan mereka dua bulan lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, katanya lagi, wanita itu kemungkinan mengalami depresi disebabkan dia dikatakan tidak bekerja, manakala bekalan elektrik rumahnya juga dipotong sejak beberapa bulan lalu.

“Disebabkan itu juga mungkin dia berdepan tekanan perasaan,” katanya mangsa hanya membalas senyuman setiap kali terserempak dengan jiran yang tinggal berhampiran.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan bedah siasat ke atas mayat dua beranak dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), pada pukul 9 pagi tadi.

Kematian mangsa yang masing-masing berusia 40 dan dua tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang terkesan bau busuk dari kediaman itu pada pukul 4.41 petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |