ALOR SETAR – ‘Jangan sedih, kami tengok kakak dari jauh. Tak apa ramai akan jaga kakak nanti’
Demikian pesanan Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 32, yang diceritakan oleh anak sulungnya, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang sekelip mata menjadi yatim piatu setelah ibu bapanya ditemukan maut dalam kemalangan di Sungai Korok, Jitra dekat sini hari ini.
Apa yang menyedihkan, Putri Qisya menerima pesanan itu ketika bermimpikan arwah bapanya itu pada awal pagi tadi sebelum menerima berita kematian mereka.
“Saya tertidur di sofa pagi tadi, tiba-tiba arwah ayah datang dengan wajah putih berseri dan beritahu, ‘jangan sedih, kami tengok kakak dari jauh. Tak apa ramai yang akan jaga kakak nanti’ sebelum menghilang.
“Saya terjaga dengan perasaan berdebar sebelum ternampak berita kematian mereka di media sosial,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan Mohamad Azim Izat bersama isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar yang baru berusia enam bulan maut setelah kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam Sungai Korok dalam kejadian awal pagi Sabtu lepas.
Bercerita lanjut, kata Putri Qisya, dia terselamat dalam kemalangan tersebut setelah enggan mengikut keluarganya bermalam di rumah ibu saudaranya di Taman Sri Aman, Jitra pada malam Jumaat lepas.
“Selalunya memang saya ikut mak dan ayah tetapi malam itu saya rasa macam malas nak ikut. Saya beritahu arwah dan mereka benarkan saya tinggal dengan nenek di Jerlun. Saya langsung tidak menyangka perkara ini akan berlaku.
“Apabila mereka tidak pulang seperti sepatutnya hari Sabtu itu saya sudah rasa berdebar-debar. Saya dan mak saudara keluar mencari mereka di merata tempat, di semua sungai berdekatan kami pergi,” katanya.- KOSMO! ONLINE