‘Apabila lawatan rasmi PM disangka jalan-jalan’

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Tuduhan segelintir pihak daripada blok pembangkang bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah ‘jalan-jalan’ adalah cerminan kepemimpinan yang berminda kecil.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, berkata, ia juga cerminan kebebalan dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia terhadap rakyat dan Malaysia.

“Hakikatnya setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar negara yang bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi.

“Seterusnya memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS.

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh,” katanya di media sosial, hari ini.

Ahmad Farhan berkata, inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin Anwar telah membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu yang strategik.

Jelas beliau, pendekatan proaktif berkenaan amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 130 peratus.

“Antara lain dalam memperluas akses pasaran menerusi penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU), serta pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA).

“Ia membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang diluluskan, iaitu sebanyak 14.9 peratus dengan nilai berjumlah RM378 bilion serta prestasi perdagangan dengan pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024,” ujarnya.

Sebaliknya beliau berkata, semasa era pentadbiran pembangkang, citra negara tidak terkehadapan dan kini rakyat lebih bijak menilai siapa yang bekerja untuk negara atau hanya tahu menabur tohmahan, menyemai kebencian serta bermain ‘politik tanpa hikmah’.

“Akuilah hakikat ini yang terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara. Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan Madani memandu negara kita.

“Nasihat saya kepada tokoh-tokoh berminda kecil di dalam blok pembangkang, fahami dan kenali rakyat dengan lebih baik. Ini kerana, rakyat tidak berminda seperti anda. Apatah lagi untuk diperdaya agar termakan dengan permainan herotan persepsi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |