LARUT – Anak-anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh pemandu mabuk di Klang pada bulan lalu semakin menyesuaikan diri dengan keadaan mereka malah telah memulakan sesi persekolahan masing-masing.
Dua anak Allahyarham yang telah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Repoh di sini tersebut ialah Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan Muhammad Aliff Izz Rayqal, 7.
Balu Amirul Hafiz iaitu Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, anak-anaknya itu semakin menyesuaikan diri mereka di kampung tersebut biarpun tragedi menimpa bapa mereka berlaku bulan lalu.
“Mereka mula melupakan kejadian tersebut, malah telah pun pergi ke sekolah. Kalau lihat wajah anak-anak, mereka semakin seronok di sini,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Repoh di sini hari ini.
Terdahulu, dia menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di sini.
Mengulas lanjut, Nor Nadia berkata, anak bongsunya iaitu Nur Humaira, 2, pula masih bertanyakan mengenai arwah bapanya dan memintanya untuk menghubungi Allahyarham suaminya kerana berasa rindu dan mahu mendengar suaranya.
Katanya, dia hanya memberitahu anak bongsunya bongsunya itu bahawa bapanya sudah tak boleh bercakap dan meminta agar didoakan dan disedekahkan al-Fatihah.
Pada masa sama, dia mengakui masih merindui arwah suaminya namun dia menguatkan diri demi masa depan anak-anaknya dan itulah fokusnya ketika ini.
“Saya rindukan suasana lama kerana ada banyak kenangan di kediaman kami di Shah Alam. Bagaimanapun, arwah dah pesan sebelum dia meninggal bahawa jika jadi apa-apa padanya, dia minta saya pulang ke kampung.
“Paling penting sekarang ini ialah saya nak teruskan kehidupan dan memastikan semua anak membesar dengan baik,” katanya.
Tambahnya, bantuan dari PTPTN yang diterima ketiga-tiga anaknya itu memberinya kelegaan apabila masa depan anaknya kini terjamin. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
6

















































