PETALING JAYA – Perajurit Muda Wanita Akademik Terbaik, Prebet Siti Khadijah Sungip, yang maut dalam insiden latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah hari ini, disifatkan sebagai anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan ketenteraan yang diikutinya.
Allahyarham yang berusia 23 tahun merupakan antara dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terkorban dalam insiden tersebut bersama Koperal Norazmi Abu Bakar ketika menjalani Latihan Membaling Grenad kira-kira pukul 10.57 pagi.
Menerusi maklumat yang tular di media sosial, Siti Khadijah yang dilahirkan pada 19 September 2002 di Kluang, Johor merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan memiliki Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan).
Allahyarham dilaporkan menunjukkan minat serta kesungguhan tinggi dalam setiap latihan yang dijalankan sepanjang mengikuti latihan ketenteraan.
Malah, kecemerlangan akademik dan prestasi keseluruhannya dalam ujian serta peperiksaan telah melayakkan beliau dianugerahkan sebagai Perajurit Muda Wanita Akademik Terbaik.
Difahamkan, Allahyarham yang berasal daripada Kompeni Juliet itu turut menerima piala pusingan, sijil dan cenderahati atas pencapaian berkenaan sebelum diserapkan ke Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Terdahulu, TDM mengesahkan dua anggotanya meninggal dunia selepas mengalami kecederaan akibat letupan semasa pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Platun Tempur RAJD Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota berkenaan dan mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
8














































