AUSTIN – Pelumba muda sensasi Sepanyol, Pedro Acosta menyifatkan momentum positif yang dinikmatinya pada awal tiga perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2026 dibantu oleh peningkatan prestasi jentera KTM RC16s.
Penunggang Red Bull KTM Factory Racing itu terus mencuri tumpuan selepas meraih podium pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, sekali gus mengekalkan status sebagai pelumba terbaik KTM setakat ini.
Kebangkitan tersebut hadir selepas aksi cemerlang di GP Thailand apabila Acosta meraih kemenangan dalam perlumbaan Sprint sebelum menamatkan perlumbaan utama di tempat kedua.
Lebih membanggakan, keputusan itu menyaksikannya muncul sebagai pelumba KTM pertama yang pernah mendahului kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia MotoGP.
Menurut Acosta, perubahan pendekatan mental menjadi faktor utama kepada peningkatan prestasinya musim ini berbanding dua musim terdahulu, selain pendekatan lebih tenang membolehkannya mengawal situasi dengan lebih baik ketika berdepan tekanan di litar.
“Saya melakukan lebih sedikit kesilapan berbanding dua tahun lalu, malah lebih baik daripada musim lepas. Kini saya lebih tenang. Walaupun berdepan situasi sukar, saya menggunakan fikiran dengan lebih baik dan itu mungkin perbezaan terbesar.
“Jentera semakin mudah dikendalikan dan pasukan bekerja dengan lebih pantas. Secara keseluruhan, situasi pasukan kini jauh lebih baik,” ujarnya.
Untuk rekod, selepas tiga pusingan awal pada 2024, Acosta sekadar mengumpul 54 mata di kedudukan keempat, manakala pada 2025 prestasinya merosot tajam dengan hanya 16 mata akibat kerap melakukan kesilapan.
Namun, edisi 2026 memperlihatkan kematangan luar biasa pelumba yang memacu jentera No. 37 itu bijak mengawal tekanan, selain dibantu peningkatan teknikal jentera buatan Austria tersebut terutama dari segi penjagaan tayar. Fokus Acosta kini beralih ke Eropah bagi mengharungi pusingan keempat di GP Sepanyol, minggu depan. – AGENSI

17 hours ago
6
![[VIDEO] Tengah makan beg pelanggan kena ragut….](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-yang-dimuat-naik-oleh-Oriental-Kopi-di-laman-Instagram..jpeg)















































