87 pentadbir masjid Selangor dipecat benarkan ceramah penceramah tak bertauliah

5 hours ago 4

SHAH ALAM – Kira-kira 87 pentadbir masjid di Selangor telah ditamatkan perkhidmatan selepas didapati ingkar termasuk membenarkan penceramah tidak bertauliah mengajar di masjid mereka.

Exco Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara tersebut kerana telah berulang kali dinyatakan mengenainya.

“Banyak sudah dibuang iaitu kira-kira 87 orang telah diambil tindakan. Menangislah tiada maaf tiada bagimu. Semua kita bersihkan dengan tukar baharu.

“Antara dapatan kami adalah kadang-kadang pentadbir masjid bukan orang situ dan pengundi Selangor. Patutnya (masjid berkenaan) dijaga ahli kariah. Cukuplah setakat itu (saya katakan),” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan berhubung seorang penceramah bebas yang kini dalam siasatan pihak berkuasa
membabitkan penyebaran video hubungan intim bersama isteri-isterinya dan beberapa wanita lain yang dilihat aktif menyampaikan ceramah agama di sekitar Selangor meskipun tauliah telah ditarik semua pada tahun 2022.

Beliau mengakui sukar memantau dengan terdapat 446 masjid di seluruh Selangor dengan aduan daripada masyarakat amat penting bagi membantu pelaksanaan penguatkuasaan sewajarnya.

“Pendekatan kerajaan negeri perlu tegas dengan pentadbir sebegini kita keluarkan, senang. Ini disebabkan kita ada modul pengurusan masjid supaya pengurusan terkawal.

“Tidak ada orang beri muka, langgar peraturan. Kita ada dua isu iaitu penceramah bertauliah memang tidak boleh masuk. Kalau yang bagi masuk adalah pentadbir masjid, maka dia kena tukar. Itu pandangan saya,” katanya.

Jelasnya, terdapat juga isu penceramah bertauliah yang menyalahgunakan tauliahnya dengan pihaknya tidak berkompromi ke atasnya.

“Kita sudah buat pindaan pada Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor). Kalau seandainya penceramah memegang mana-mana parti politik iaitu kerajaan atau pembangkang, tauliah boleh ditarik balik,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |