5,051 senjata tiruan dirampas, 6 individu ditahan

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Polis merampas sebanyak 5,051 laras senjata api tiruan bernilai lebih RM4.16 juta dalam serbuan ke atas tujuh premis di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor semalam.

Operasi khas dikenali Op Taring Bravo 3 (Senjata Tiruan) itu dijalankan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa lain.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas dua premis di Kepong, Kuala Lumpur menyaksikan penahanan empat lelaki warga asing serta rampasan 4,983 laras senjata tiruan bernilai RM4.11 juta.

“Turut ditemukan ialah 1,400 kotak berwarna coklat yang mengandungi pelbagai makanan ringan menyalahi Peraturan-Peraturan Makanan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, serbuan kedua pula dilakukan ke atas dua premis membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan rampasan 53 laras senjata bernilai RM31,520 di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Manakala serbuan ketiga menyaksikan seorang lagi lelaki tempatan ditahan dan 15 senjata tiruan dirampas di Batu Pahat, Johor,” ujarnya.

Azmi berkata, siasatan awal mendapati kesemua senjata tiruan itu disimpan untuk tujuan jualan kepada orang awam menerusi platform dalam talian tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil kerana terdapat beberapa kes jenayah sebelum ini menggunakan senjata tiruan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk tidak terlibat membeli atau menyimpan senjata tiruan dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya terkesan penjualan senjata ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1969 diikuti Seksyen 6(1)(C), Seksyen 55B Akta Imigresen 1958/63, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Turut disiasat mengikut Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016, Seksyen 26(1)(A) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 dan Peraturan 32B Peraturan-Peraturan Makanan 2007. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |