KOTA TINGGI – Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyimpan bangkai seekor harimau belang betina, minggu lalu.
Tertuduh, Md Shaheezam Md Salim, 49, Nazerin Tomiran, 47 dan adiknya, Mohamad Nazrol, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Berdasarkan pertuduhan kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama pada 16 September lalu menyimpan seekor harimau belang betina (panthera tigris) yang telah mati di bahagian belakang bonet Perodua Alza yang merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] tanpa suatu permit khas.
Mereka melakukan perbuatan itu di stesen minyak BHPetrol Felda Tenggaroh lebih kurang 6.10 pagi dan kesalahan itu didakwa di bawah seksyen 70(1) Akta 716 yang boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 70(2) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574].
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda maksimum RM250,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi dan Anongrakh Wechit sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh, Md Shaheezam yang menghidap kanser hati tahap 4 dan bekerja pemandu di ladang dengan pendapatan RM1,800 memohon denda dan hukuman penjara paling ringan.
Sementara dua beradik berkenaan yang masing-masing menghidap sakit buah pinggang dan bekerja sebagai jurukimpal turut memohon hukuman yang ringan.
Hayda kemudian menjatuhkan hukuman denda RM250,000 setiap seorang sekiranya gagal bayar penjara tujuh tahun dan juga hukuman penjara tujuh tahun dari tarikh sabitan.-KOSMO! ONLINE