LAUWIN-PLANQUE, Perancis – Hasrat pasukan berbasikal Perancis, Cofidis untuk bersaing dengan penuh semangat dalam perlumbaan berprestij Tour de France (TdF) berdepan detik sukar selepas 11 basikal bernilai lebih RM786,500 dicuri daripada trak pasukan itu pada Sabtu lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku pada waktu malam selepas tamat peringkat pertama perlumbaan apabila trak yang menyimpan peralatan dan basikal dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Cofidis dalam satu kenyataan menyatakan, walaupun langkah keselamatan telah diambil, pencuri masih berjaya melarikan basikal jenama Look dengan setiap satu dianggarkan bernilai sekitar €13,000 (RM71,500).
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini dan menyeru pelaku untuk bertindak dengan beradab serta bertanggungjawab,” menurut kenyataan Cofidis.
Bagaimanapun, insiden tersebut tidak menghalang kesemua lapan pelumba pasukan itu untuk memulakan peringkat kedua perlumbaan dari Lauwin-Planque ke Boulogne-sur-Mer semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Look Cycle, Federico Musi mendedahkan, kilang pengeluaran mereka di Nevers, Perancis dibuka segera untuk menghasilkan basikal ganti jenis Iconic Black Radial 2025 agar pasukan dapat berlumba seperti biasa keesokan paginya.
Pihak polis dilaporkan telah melawat hotel pasukan Cofidis bagi memulakan siasatan terperinci dan memburu pelaku tersebut.
Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku kerana tahun lalu, satu lagi pasukan Perancis, TotalEnergies turut kehilangan 11 basikal dalam kejadian kecurian ketika TdF.
Insiden malang itu turut memberi tamparan kepada pelumba Cofidis, Benjamin Thomas yang meraih jersi polka dot sebagai raja bukit selepas cemerlang dalam dua daripada tiga pendakian peringkat pertama.
Antara basikal yang dicuri termasuk basikal khas yang disediakan untuk meraikan pencapaiannya. – AGENSI