Zehra Zambri lega akhirnya akan diceraikan suami

15 hours ago 5

BANGI – Hampir selesai, penyanyi Zehra Zambri lega apabila urusan perceraian dengan suami, Nur Mohd. Iqwan Samsudin sudah mencapai kata sepakat selepas lima bulan turun naik mahkamah.

Zehra, 38, bekas suaminya bersetuju melafazkan cerai, namun prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat hari ini terpaksa ditangguhkan ke 20 Ogos ini disebabkan dirinya dalam keadaan tidak suci.

“Sudah tentu saya lega sebab kes ini sudah lama berlarutan. Tapi sayangnya, hari ini tak dapat diselesaikan kerana keadaan saya yang tidak mengizinkan.

“Saya amat berharap 20 Ogos ini akan menjadi tarikh terakhir untuk saya hadir ke mahkamah ini sekali gus menjadi penentu (talak) yang saya pinta,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, Iqwan sebelum ini memintanya menggugurkan beberapa tuntutan akhirnya bersetuju melafazkan talak tanpa sebarang syarat.

“Dulu dia kata dah sedia ceraikan, tapi letak syarat. Kali ini, alhamdulillah dia setuju lafazkan kerana perceraian sudah saya failkan,” ujarnya.

Kedua-dua pihak menjalani prosiding Majlis Tahkim, dengan pelantikan hakam oleh mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian rumah tangga mereka.

Ditanya mengenai sebarang tuntutan susulan termasuk nafkah dan hak penjagaan anak (hadanah), Zehra memaklumkan akan dikemukakan selepas urusan perceraian diselesaikan.

“Semua tuntutan berkaitan nafkah anak, hadanah serta hal berkaitan lain akan dikemukakan selepas urusan perceraian kami selesai kira-kira seminggu lagi.

“Buat masa ini doakan semoga urusan kami dilancarkan,” ujarnya.

Pada 14 Julai lalu, mahkamah menetapkan perceraian antara pasangan terbabit dijalankan menerusi lantikan hakam selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) mendapati wujudnya unsur Syiqaq iaitu tiada persefahaman berpanjangan antara mereka.

Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Iqwan pada Mac lalu dengan lima tuntutan, antaranya dakwaan berkaitan nafkah dan berlaku keganasan dalam rumah tangga. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |