Zara Qairina: Lima remaja akan dituduh ugut

4 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Lima remaja perempuan yang akan dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan didakwa pertuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan mengancam di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah Rabu ini.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi media hari ini.

Menurut beliau pertuduhan terhadap remaja bawah umur itu akan dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (pindaan 2025) yang mana seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terbabit adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.

Seksyen berkenaan menyebut, sesiapa dengan apa cara atau melalui apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat ugutan dengan mengeluarkan perkataan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang mengancam, menghina atau mengaibkan.

Terdahulu beliau memaklumkan, lima remaja berusia bawah 18 tahun itu, akan didakwa ke mahkamah.

Sebelum ini Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina.

AGC menegaskan keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan.

Semalam Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu agar suatu inkues diadakan berhubung kes kematian Zara Qairina.

Prosiding inkues itu selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593)

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu meninggal dunia 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |