Yoga ada unsur mantra, pemujaan boleh rosakkan akidah Muslim

9 hours ago 4

PETALING JAYA – Umat Islam diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya mengikuti program yoga dan meditasi terutama yang mengandungi unsur mantra, ritual pemujaan, chakra atau amalan kerohanian daripada agama lain.

Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah), Datin Aminah Zakaria berkata, masyarakat perlu memahami garis pemisah antara senaman untuk kesihatan dengan amalan yang boleh menyentuh soal akidah.

Menurutnya, peringatan itu susulan video tular memaparkan seorang wanita Islam melakukan yoga berlatarbelakangkan patung berhala yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

“Yoga pada hari ini hadir dalam pelbagai bentuk. Kita tidak menolak senaman yoga yang menggunakan gerakan regangan dan latihan pernafasan.

“Namun, terdapat juga yoga yang disertai mantra, meditasi bercorak keagamaan, konsep chakra, tenaga metafizik, pemujaan dan unsur kerohanian yang mempunyai akar dalam tradisi serta agama tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-83 pada 2008 telah memutuskan bahawa yoga yang menggabungkan amalan fizikal dengan unsur keagamaan, mantra dan pemujaan adalah tidak sesuai serta boleh merosakkan akidah umat Islam.

Justeru, Salimah menggesa pihak berautoriti, pertubuhan Islam serta pempengaruh media sosial memainkan peranan mendidik masyarakat sebelum mereka menyertai sesuatu program berkonsepkan ‘wellness’.

“Sekiranya terdapat mantra, peserta diminta melakukan ritual tertentu, wujud pemujaan atau diselitkan konsep chakra, tenaga ketuhanan dan penyatuan diri dengan Tuhan seperti dalam agama lain, seorang Muslim wajar berundur dan mencari alternatif lain.

“Antaranya senaman regangan biasa, berjalan kaki, berenang, berbasikal, latihan kecergasan atau Pilates yang bebas daripada unsur keagamaan,” katanya.

Tambahnya, bagi mendapatkan ketenangan jiwa, Islam turut menyediakan amalan seperti solat, zikir, doa, membaca al-Quran, tadabbur serta menghadiri majlis ilmu.

Katanya, menjaga akidah bukan bermakna menolak kemodenan, manakala menghormati agama lain juga tidak bermaksud seseorang Muslim perlu mencampurkan ritual agama dalam kehidupan mereka.

“Kesihatan tubuh memang perlu dijaga dan ketenangan jiwa juga perlu dicari, tetapi bagi seorang Muslim, kedua-duanya mestilah berjalan seiring dengan prinsip yang tidak boleh dikompromi iaitu nilai tauhid kepada Allah SWT,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |