Geng Mat Letrik, Geng Mista, Geng Sasi curi kabel tumpas

8 hours ago 8

TEMERLOH – Kegiatan tiga kumpulan penjenayah yang dipercayai mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) terbongkar selepas tujuh suspek termasuk seorang wanita ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Temerloh dan Mentakab, di sini, sepanjang lima hari.

Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 40 tahun itu ditahan pasukan petugas khas Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh bermula 15 hingga 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, sepanjang Julai hingga September tahun ini, pihaknya menerima empat laporan kes kecurian kabel TNB dan empat berkait kabel TM di kawasan pentadbiran denga, jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM100,000.

“Tujuh suspek yang ditahan, tiga dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel TNB, dua suspek mencuri kabel TM manakala dua lagi membantu memproses kabel yang dicuri. Empat daripada tujuh suspek yang ditahan turut didapati positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing.

“Dalam beberapa siri serbuan itu, polis turut merampas tiga jenis kenderaan, beberapa gelung kabel wayar TNB dan TM serta pelbagai peralatan seperti alat pemotong kabel, alat pembukaan lubang ‘manhole’, takal rantai bersama tali penarik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Temerloh, di sini hari ini.

Mohd Nasyim berkata, hasil siasatan dan soal siasat, mendapati kesemua tangkapan dibahagikan kepada tiga kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Mat Letrik, Geng Mista dan Geng Sasi.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |