Sukan Asia: Langkah kanan skuad negara

12 hours ago 8

SKUAD sepak takraw negara memulakan kempen pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan keputusan positif apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas pasukan tuan rumah, Jepun bagi saingan Kumpulan B.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Mizuho Park semalam, regu utama yang dibarisi tekong, Mohammad Syahir Rosdi, Farhan Adam (apit kiri) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) tidak berdepan masalah apabila menang 15-11, 15-11.

Walaupun berdepan Jepun yang diperkuatkan dengan sokongan padu peminat setia mereka, namun skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu kekal tenang dan memberikan sepenuh fokus kepada aksi di dalam gelanggang.

Kemenangan pertama disumbangkan Syahir, Farhan dan Azlan nyata memberi suntikan semangat buat Muhammad Zulkifli Ab Razak (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Muhammad Afifuddin Mohd. Razali (apit kanan) yang turun sebagai regu kedua.

Aksi mantap yang ditampilkan berjaya meletakkan regu Jepun berada dalam keadaan cukup tertekan sebelum mereka menghadiahkan mata kedua buat Malaysia menerusi kemenangan mudah 15-6, 15-8.

Bagaimanapun, regu ketiga negara yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) berdepan tentangan sengit daripada Jepun.

Pada perlawanan itu, Jepun berjaya mencuri satu set permainan bagi memaksa Malaysia beraksi hingga set ketiga sebelum regu negara memastikan kemenangan mutlak menerusi keputusan 13-15, 15-5, 15-6.

“Secara keseluruhan untuk perlawanan pertama walaupun catat kemenangan, tetapi masih ada elemen yang perlu diperbaiki sebelum Filipina esok (hari ini). harap pemain dapat melihat sejauh mana kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Regu pertama agak konsisten, cuma pertahanan Farhan agak longgar dan itu kena terima hakikat. Regu kedua masih boleh ditingkatkan lagi, namun regu ketiga agak merisaukan kerana prestasi Haziq belum di tahap yang diharapkan,” kata Ahmad Jais ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara tersebut adalah 36 tahun lalu ketika sukan sepak takraw melakukan penampilan sulung pada edisi 1990 di Beijing, China.

Read Entire Article
Pertanian | | | |