Tiada tempoh ditetapkan sambung operasi FDS di Sarawak

4 hours ago 7

TAIPING – Kementerian Kesihatan (KKM) belum menetapkan tempoh masa untuk mengaktifkan semula operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) di Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu kerana bergantung kepada hasil siasatan rasmi agensi terlibat.

Bagaimanapun katanya, KKM akan berusaha memastikan perkhidmatan tersebut dapat disambung semula secepat mungkin.

“Saya tidak boleh menyebut waktu dan tarikh, sebab itu akan bersifat janji. Tapi saya sebutkan prinsipnya, kita nak lakukan dengan kadar segera.

“Ini kerana ia (perkhidmatan) melibatkan lawatan berjadual yang biasa kita lakukan di lokaliti-lokaliti pedalaman, bukannya perubatan kecemasan (medical emergency),” katanya ketika ditemui selepas melakukan  lawatan kerja di Hospital Taiping, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya sedang memperincikan pembayaran ex-gratia susulan insiden FDS yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat kakitangan KKM di Miri, Sarawak baru-baru ini.

Katanya, pengiraan sedang dibuat berdasarkan beberapa komponen sebelum jumlah pampasan ditentukan.

“Kami sedang mengambil tindakan untuk memastikan kelancaran proses, yang pertama ex-gratia, tuntutan faedah persaraan dan sebagainya bersama Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam kejadian pada 8 September lalu, sebuah helikopter BO-105 membawa juruterbang dan empat kakitangan kesihatan terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Mangsa yang terkorban ialah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Sementara itu, dalam lawatan ke Hospital Taiping, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya memperuntukkan lebih RM1.65 juta bagi menaik taraf dan menambah baik kemudahan di hospital tersebut selain perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan.

Katanya, peruntukan itu turut meliputi kerja-kerja menaik taraf, pengubahsuaian dan pembaikan kemudahan kesihatan, tandas serta kawasan lain.

“Tahun lalu, sebanyak RM571,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf melibatkan Jabatan Kecemasan dan Wad Psikiatri. Semuanya telah disempurnakan sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |