‘Bukan nak sempurna, cukup sekadar dapat bernafas’

5 hours ago 7

KUALA TERENGGANU –  Mangsa simbahan cuka getah, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 24, menjalani pembedahan kali kelima bagi memulihkan wajahnya yang melecur teruk dalam kejadian pada 2010.

Pembedahan selama lima jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 17 September lalu dilakukan bagi membuang parut pada hidung, dahi dan dagu yang melecur dalam insiden kira-kira 16 tahun lalu.

Nurul Dahyatulmpur berkata, pasukan perubatan mengambil kulit daripada bahagian paha untuk ditampal pada dahi dan dagu, manakala kulit di belakang telinga digunakan bagi membentuk kulit hidung baharu.

“Kalau ikutkan memang sakit, namun saya tiada pilihan dan perlu mengikuti proses pembedahan yang dijadualkan bagi mengurangkan kesan regangan pada wajah.

“Saya difahamkan selepas ini proses mengambil tulang rawan juga akan dilakukan untuk membentuk tulang hidung baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Gadis itu berkata, pembedahan membentuk tulang hidung baharu itu bertujuan membolehkan saluran pernafasan berfungsi dengan lebih baik.

Menurut Nurul Dahyatulmpur, proses rawatan itu tidak terhenti setakat itu kerana masih terdapat banyak prosedur yang perlu dilalui bagi memulihkan wajahnya yang melecur.

“Saya masih menunggu untuk menjalani proses membuang jahitan pada pembedahan yang dilakukan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sebelum ini Nurul Dahyatul menjalani empat kali pembedahan di HKL sejak tahun 2023.

Katanya, kejadian pada 2010 itu menyebabkan pernafasannya terganggu pada waktu tertentu, selain menyukarkan dia melakukan aktiviti seperti bekerja tetap kerana perlu menjalani pelbagai proses rawatan susulan.

“Saya pasrah dengan takdir kerana Allah SWT memilih saya untuk melalui ujian ini dan saya berharap selepas ini wajah saya setidak-tidaknya kembali pulih walaupun tidak seperti dahulu.

“Bukan hendak sempurna, namun cukup sekadar dapat bernafas dengan sempurna selain parut pada wajah dapat dikurangkan,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |