PETALING JAYA – Orang ramai tertanya-tanya dengan kewujudan beberapa kereta rosak yang didakwa telah tersadai begitu lama di tepi jalan dalam kawasan di Cyberjaya.
Menerusi video dimuat naik pada TikTok bioQueen, kelihatan kereta-kereta tersebut diletakkan sebaris di tepi jalan, antaranya jenis Proton Gen-2, Proton Satria Neo, Proton Persona dan Nissan Almera.
Malah, pada cermin setiap kereta itu turut ditampal amaran daripada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang meminta pemilik setiap kenderaan itu memindahkan kereta mereka ke tempat lain.
“Kereta dah berbulan tersadai. Tayar hilang, cermin pecah, cukai jalan dah bertahun mati dan sekarang ada notis amaran daripada MP Sepang.
“Di mana semua pemiliknya? Apa yang dah berlaku? Kenapa banyak kereta tersadai dekat Cyberjaya. Mana pemilik kereta ni semua. Barang bersepah berterabur atas jalan, apa yang berlaku?,” menurut kapsyen pada video dimuat naik oleh bioQueen.
Dalam ruangan komen, orang ramai memberi andaian berkemungkinan kereta-kereta tersebut sebelum ini digunakan oleh pelajar antarabangsa yang melanjutkan pelajaran di universiti atau kolej di Cyberjaya.
“Pelajar asing beli tunai kereta-kereta ni. Bila dah habis belajar atau visa, diorang tinggalkan macam tu sahaja. Bersepah di Cyberjaya dan tempat letak kereta ‘airport’ (lapangan terbang),” dakwa seorang pengguna TikTok Khairul.
“Ni kereta ditinggalkan warga asing yang belajar dan bekerja di Cyberjaya,” dakwa hazwanhassan2304.
“Ramai pelajar atau orang luar dekat Cyberjaya ni bila dah habis belajar atau visa tamat tempoh, diorang balik tinggal gitu saja. Dekat apartmen kawasan Cyberjaya banyak kenderaan tinggal gitu, motosikal bagai,” dakwa pengguna TikTok dikenali sebagai A. – KOSMO! ONLINE
@bioqueen99 Kereta dah berbulan tersadai. Tayar hilang, cermin pecah, roadtax dah bertahun mati dan sekarang ada Notis Amaran dari MPS. Di mana semua pemiliknya? Apa yang dah berlaku. #bioqueen #keretatersadai #keretasewa ♬ Suspenseful and tense orchestra(1318015) – SoLaTiDo