KUALA LUMPUR – “Jangan jadi asbab cikgu BM (Bahasa Melayu) ramai yang pendek umur!”
Itu teguran pedas pelakon dan pelawak, Zack Kirana dalam satu hantaran video di TikTok yang kini tular di media sosial.
Menerusi hantaran tersebut, Zack secara sinis menegur penyampai-penyampai anugerah di televisyen yang sering melakukan kesilapan dalam penggunaan kata pemeri, khususnya antara ialah dan adalah.
“Sedikit ilmu kepada penyampai-penyampai anugerah. Bukannya ‘pemenangnya adalah’, tapi ‘pemenangnya ialah’. Kata pemeri ialah perlu diikuti dengan kata nama,” katanya dalam video berdurasi kurang seminit itu.
Zack menegaskan bahawa kesilapan itu nampak kecil namun memberi kesan besar kepada golongan pendidik dan pencinta bahasa.
“Kan kita nak sebut nama pemenang tu orang. Orang kan kata nama. Jadi, ‘Pemenangnya ialah’. ‘Calon-calonnya ialah’. Jangan jadi asbab, cikgu BM banyak yang pendek umur tau sekarang ni,” katanya secara berseloroh.
Tambahnya lagi, kesilapan tatabahasa seperti itu membuatkan penonton yang faham struktur bahasa menjadi tertekan hingga ada yang memilih untuk terus menutup televisyen.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
“Belum lagi yang cakap pemenang pemenangnya jatuh kepada,” ujar @SaiStore.
“Patutnya setiap majlis besar ada konsultan bahasa,” kata @Mano Sairi.
“DBP wajib audit skrip untuk semua majlis anugerah yang ditayang di televisyen,” komen @encikSambal. – KOSMO! ONLINE
@zackkirana27 Jangan robek hati Cikgu BM lagi. Komen banyak-banyak, baru saya kongsikan tentang KATA PEMERI ‘adalah’. #fyp #foryoupage #zackkirana #bahasamelayu #cikguzackkirana #belajar ♬ original sound – zack kirana