
- Oleh AIMUNI TUAN LAH
- 11 Ogos 2025, 11:41 am
GUA MUSANG – Empat maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta bertembung treler di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, empat mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta jenis Honda Civic.
Komander Operasi Balai Bomba Gua Musang, Nik Mohd. Fakri Md. Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.07 pagi sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Terdapat lima mangsa di dalam kereta masih tersepit manakala pemandu treler selamat. Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dan mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE