[VIDEO] ‘Dia kerat anak, cucu saya macam seekor ayam’

5 hours ago 2

MELAKA – “Saya reda dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini tetapi saya tidak akan maafkan dia (tertuduh) sampai mati, dia kerat anak dan cucu macam seekor ayam,”.

Itu luahan Fatimah Latiff, 67, ibu kepada Allahyarham Norfazera Bidin, 27, dan nenek Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, yang dibunuh kejam dengan anggota badan mereka dikerat sebelum dibuang di beberapa lokasi.

Lebih mengerikan kepala wanita itu turut disorokkan tertuduh yang juga suami mangsa di siling rumah mereka di Batu Berendam pada Oktober 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dalam penghakimannya hari ini menjatuhkan hukuman 72 tahun penjara dan 24 sebatan terhadap tertuduh, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, yang merupakan warga Singapura selepas didapati bersalah melakukan pembuhuhan brutal itu.

Fatimah berkata, keluarganya bagaimanapun akan membuat rayuan agar hukuman gantung dipertimbangkan bagi perbuatan tertuduh.

“Saya masih ingat keadaan ketika memandikan jenazah anak, malah sehingga hari ini anggota tangan anak dan cucu masih tidak ditemukan.

“Apa yang dia lakukan terhadap anak dan cucu saya jauh lebih teruk daripada binatang kerana binatang pun tahu sayangkan keluarganya, jadi kami akan buat rayuan mengenai keputusan hakim hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah.

Media pada Oktober 2019 melaporkan dua beranak mati dibunuh dengan anggota badan mereka dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian sebelum dibuang suspek di lokasi berasingan termasuk kawasan semak dan di dalam tong sampah.

Difahamkan kejadian terbongkar selepas kakak mangsa datang ke rumah adiknya itu untuk memeriksa keadaan susulan wanita terbabit tidak dapat dihubungi.

Beberapa bahagian anggota badan mangsa kemudian ditemui oleh seorang pemotong rumput yang sedang membersihkan kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong.

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa yang merupakan warga Singapura pada 11 Oktober 2019 kerana disyaki melakukan pembunuhan kejam berkenaan.

Motif pembunuhan itu dipercayai disebabkan perasaan marah terhadap isu yang dibangkitkan oleh isterinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |