PETALING JAYA – Demi suara merdu dan wajah berseri di pentas seni, seorang selebriti lelaki dari Singapura sanggup memakai susuk emas selama puluhan tahun sebelum akhirnya bertaubat serta berikhtiar membuangnya.
Menerusi perkongsian video oleh Perawat Islam, Faridzuan Jamaludin di TikTok semalam, selebriti berkenaan datang menemuinya bagi mendapatkan rawatan selepas berasa gelisah dan tidak tenteram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Katanya pakai susuk ini bersama kawan, sudah lama puluhan tahun, untuk mencari populariti di dunia seni. Bomoh yang masukkan susuk ini berkata, jarum susuk ini dapat menjadikan niat si pemakal akan dikabulkan hajatnya.
“Seperti suara sedap, pemanis mulut, pengikat, pelaris, mengangkat seri, menarik minat orang ramai apabila melihatnya, berhadapan atau pun di kaca televisyen, dan mudah mendapatkan jemputan atau pun kontrak kerja berkaitan nyanyian, belakon, menari dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun, perawat itu berkata, apabila usia semakin meningkat, selebriti berkenaan mengakui hidupnya dihantui rasa bersalah, sedih dan tekanan jiwa walaupun sudah memiliki segala kemewahan.
“Apabila semakin berusia belia rasa tidak tenteram hati, gelisah, serabut, sedih dan sebagainya. Seolah-olah amal kebaikkan apa yang beliau buat tidak diterima langsung, malahan diri beliau menjadi tertekan dan semakin serabut, walaupun sudah ada segalanya.
“Beliau tekad dan berikhtiar mencari perawat untuk buang susuk ini, tetapi masih belum di izinkan Allah taala untuk keluar, walaupun pelbagai kaedah telah mencuba, sehingga habis ribuan ringgit tetap jarum ini tidak mahu keluar,” kongsinya.
Lebih menakutkan, katanya, bomoh yang memasukkan susuk kepada selebriti itu sudah meninggal dunia, sehingga membuatkan si pemakal semakin bimbang ajal menjemput sebelum sempat membuangnya.
Akhirnya, perawat itu berjaya mengeluarkan susuk emas tersebut dengan izin Allah selepas melemahkan ‘khadam’ yang mendampinginya.
“Apabila jarum susuk itu sudah keluar, pesakit sangat-sangat bersyukur kepada Allah SWT, kerana beliau niat mahu bertaubat dan beramal ibadah dengan sempurna serta menyesali perbuatan-perbuatan syirik sebelum in yang pernah dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE