Trump usir gelandangan keluar dari ibu negara

16 hours ago 3

WASHINGTON – Golongan gelandangan di ibu negara Amerika Syarikat (AS) berdepan hukuman penjara sekiranya ingkar kepada arahan Presiden Donald Trump yang mahu menghapuskan penempatan mereka di Washington DC, lapor akhbar Arab News.   

Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, pentadbiran Trump sedang meneroka strategi untuk memindahkan individu gelandangan jauh dari ibu kota.

Beliau berkata, polis telah membongkar 70 penempatan gelandangan di taman-taman persekutuan sejak Mac lalu. Ia dijangka merobohkan dua lagi kawasan penempatan yang masih wujud di bandar itu lewat minggu ini.

“Gelandangan akan diberi pilihan untuk meninggalkan penempatan mereka, dibawa ke pusat perlindungan, ditawarkan perkhidmatan rawatan ketagihan atau kesihatan mental. Sekiranya enggan, mereka boleh dikenakan denda atau hukuman penjara,” kata Leavitt kepada wartawan.

Sebelum ini, Trump berkata di media sosial bahawa beliau mahu gelandangan keluar dari Washington DC.

Beliau turut mengumumkan langkah luar biasa untuk mengambil alih sementara jabatan polis Daerah Columbia (DC) di ibu negara AS itu.

Trump juga telah mengerahkan 800 anggota Pengawal Kebangsaan sebagai sebahagian daripada tindakan tegas terhadap penjenayah di Washington, satu usaha yang turut melibatkan 500 lagi pegawai penguatkuasaan undang-undang persekutuan.

Beliau menggambarkan gelandangan sebagai salah satu daripada beberapa kumpulan yang telah menguasai ibu negara AS itu termasuk geng ganas, penjenayah kejam, kumpulan belia liar dan penagih dadah. 

Menurut Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar (HUD), gelandangan di AS mencapai paras tertinggi iaitu lebih 771,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak pada satu malam pada 2024.

Washington DC mempunyai bilangan gelandangan tertinggi daripada semua negeri AS, dengan 83 orang gelandangan bagi setiap 10,000 orang, demikian menurut data HUD. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |