ALOR GAJAH – Seorang tokan diberkas polis selepas dikesan menyimpan 1,500 peket dadah jenis heroin di dalam kereta dipandunya yang dipercayai untuk dijual kepada penagih di sekitar negeri ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, suspek berusia 31 tahun itu diberkas di kawasan Jalan Industri Rumbia pada pukul 6.10 pagi Jumaat lalu oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Katanya, suspek yang memandu kereta jenis Honda Jazz telah ditahan ketika sedang menunggu pelanggannya di hentian bas selepas mengambil bekalan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek menjumpai 1,500 peket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 2,129.30 gram dan 100 peket plastik disyaki syabu seberat 96 gram.
“Kesemua rampasan itu bernilai RM35,000 dan kita percaya suspek telah menjadikan keretanya sebagai stor bagi aktiviti pengedaran dadah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Tambahnya, pihak polis turut menyita sebuah motosikal jenis Benelli 150 milik suspek yang dianggarkan bernilai RM5,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM40,000.
Ujarnya, hasil soal siasat, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori dipercayai aktif melakukan pengedaran dadah sejak Julai selepas mendakwa gaji yang diperoleh tidak mencukupi.
“Bekalan dadah itu boleh digunakan seramai 2,500 orang penagih. Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau status ‘No Further Action’ di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Saringan awal ujian air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE