Titah Agong jadi peringatan buat seluruh warga KPM tangani isu buli

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keperluan untuk membendung salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM untuk menangani salah laku buli yang memberi implikasi negatif kepada seluruh masyarakat dan negara.

“KPM menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melaksanakan kempen anti-buli secara menyeluruh di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya bermula di peringkat sekolah
rendah.

“Ini termasuk dengan memberi kesedaran dan memupuk sikap untuk saling menghormati antara satu sama lain. Nilai hormat, disiplin dan kasih sayang akan diterapkan dalam diri setiap murid,” katanya.

KPM berkata, pelaksanaan kempen ini akan dilakukan dengan kerjasama rentas
kementerian bagi memastikan impak dan keberkesanannya.

Ujarnya, kebersamaan semua pihak adalah dituntut dalam memerangi salah laku buli serta menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang dengan nilai dan akhlak mulia.

“Pada waktu ini KPM sedang merangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang
memberi tumpuan kepada aspek pendidikan karakter.

“Ia merangkumi pembinaan nilai-nilai manusiawi untuk melahirkan insan yang beradab, berakhlak dan berintegriti,” katanya.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menzahirkan titah agar kerajaan melaksanakan kempen anti buli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Seri Paduka Baginda bertitah budaya buli sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Titah Seri Paduka Baginda, buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” titah Seri Paduka Baginda hari ini.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |