KUALA LUMPUR – Tiada sebarang unsur penderaan dikesan dalam kematian Pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, menerusi Jawatankuasa siasatan berhubung kes berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu diperoleh jawatankuasa berkenaan melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Katanya, semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih Palapes yang terlibat dalam latihan telah memberi keterangan dengan tiada kelakuan, perlakuan, aktiviti atau tindakan berbentuk penderaan berlaku sepanjang tempoh latihan.
“Latihan berlangsung dari 27 Julai hingga 2 Ogos, namun Allahyarham meninggal dunia pada 28 Julai iaitu sehari selepas memasuki lokasi latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.
“Kumpulan peserta terdiri daripada kira-kira 100 orang,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2025 di Wisma Perwira ATM, hari ini.
Menurut beliau, bedah siasat Hospital Kota Tinggi mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham, manakala anggota paramedik tentera yang berada di lokasi turut mengesahkan semua bantuan awal diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Khaled berkata, laporan hospital itu selari dengan dapatan siasatan pihak polis dan punca kematian hanya akan diketahui selepas laporan lengkap bedah siasat diterima dalam tempoh satu hingga dua bulan.
“Latihan terakhir yang disertai Allahyarham adalah latihan inokulasi tempur membabitkan kira-kira 30 peserta, termasuk merangkak di bawah tembakan peluru hidup.
“Selepas itu beliau menunjukkan tanda-tanda tidak sihat sebelum meninggal dunia.
Beliau menegaskan, kes itu tidak wajar dikaitkan dengan insiden di Sabah dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti wujud unsur penderaan atau jenayah.
Berhubung kemungkinan Allahyarham mempunyai sejarah penyakit, beliau memaklumkan pihaknya hanya akan menunggu laporan penuh bedah siasat.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Kadet Palapes UTM, Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram. – KOSMO! ONLINE