KATHMANDU – Nepal menawarkan pendakian secara percuma untuk 97 gunung di Banjaran Himalaya selama dua tahun akan datang dalam usaha kerajaan meningkatkan pelancongan di beberapa kawasan terpencilnya, lapor Perbadanan Penyiaran Britain semalam.
Jabatan Pelancongan Nepal berkata, ia berharap inisiatif itu akan menonjolkan produk dan destinasi pelancongan yang belum diterokai di negara tersebut.
Gunung-gunung yang terlibat itu terletak di wilayah Karnali dan Sudurpaschim, dengan ketinggian antara 5,970 meter hingga 7,132 meter.
“Walaupun keindahan yang menakjubkan, bilangan pelancong dan pendaki gunung di rantau itu adalah sangat rendah kerana akses begitu sukar. Kami berharap peruntukan baharu itu akan membantu,” kata Pengarah Jabatan Pelancongan Nepal, Himal Gautam.
“Langkah tersebut boleh mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya, seperti laporan akhbar The Kathmandu Post.
Langkah itu diumumkan selepas bayaran permit untuk mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest akan meningkat kepada AS$15,000 (RM63,500) bermula September depan, peningkatan pertama dalam hampir sedekad.
Mendaki gunung menjana sumber pendapatan yang besar untuk Nepal yang mempunyai 10 gunung tertinggi di dunia.
Pada tahun lepas, yuran pendakian membawa masuk hasil sebanyak AS$5.9 juta (RM25 juta) kepada negara itu, dengan puncak Everest menyumbang lebih tiga perempat daripadanya.
Ketika ini, hanya sedikit minat ditunjukkan terhadap 97 puncak terpencil tersebut di mana cuma 68 daripadanya telah diteroka pengembara dalam tempoh dua tahun lepas.
Sebaliknya, kira-kira 421 permit pendakian telah dikeluarkan untuk Everest pada tahun 2024 sahaja. – AGENSI