KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tertinggi (JKT) Sukan Malaysia (Sukma) mencapai kata sepakat untuk menambah tiga lagi sukan pilihan yang akan dipertandingkan menjelang temasya Sukma Selangor 2026 pada tahun depan.
Persetujuan untuk menambah muaythai, petanque dan silambam dalam sukan pilihan pada Sukma 2026 dicapai menerusi mesyuarat khas JKT yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan menjelaskan, ahli-ahli JKT Sukma secara sebulat suara bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi.
“Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia secara kolektif bersetuju menerima penambahan tiga jenis sukan pilihan bagi temasya Sukma 2026 yang akan dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor.
“Penambahan tiga jenis sukan, iaitu muaythai, petanque dan silambam telah dicadangkan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi dan dipersetujui sebulat suara semua ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukma,” katanya.
Menerusi perkembangan terbaharu itu, Sukma yang memasuki edisi ke-22 nanti akan mempertandingkan 30 sukan wajib serta tujuh sukan pilihan dengan JKT enggan melayan mana-mana cadangan atau rayuan penambahan sukan lagi selepas ini.
Terdahulu, Selangor selaku tuan rumah Sukma ke-22 mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan tiga sukan tersebut sehingga mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak terlibat.
Pada masa sama, MSN memberitahu, Hannah turut memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji penganjuran ‘Non-Sukma Games’ bagi sukan-sukan tidak terpilih ke temasya tersebut.
Selain itu, KBS juga sedang meneliti model baharu bagi penganjuran Sukma selepas edisi 2028 di Kelantan dalam usaha menjamin kesinambungan pembangunan sukan dan atlet selain mengurangkan beban peruntukan kerajaan. – KOSMO! ONLINE