KUALA LUMPUR – Era pendedahan kontinjen Malaysia ke Sukan SEA sudah berakhir dan kini skuad negara akan menyenaraikan barisan atlet terkuat pada edisi Thailand 2025.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, langkah itu diambil sebagai pelan strategik untuk membina momentum sebelum Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027.
Menurutnya, pendekatan mengetengahkan gabungan atlet muda dan senior diguna pakai pada dua edisi lalu di Vietnam 2021 dan Kemboja 2023 telah mencapai matlamatnya dengan kini tiba masanya untuk kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi.
“Ingat tak dahulu, saya dah katakan bahawa Kemboja merupakan Sukan SEA pertama kita bagi kepada atlet-atlet muda. Tetapi, kali ini, atlet-atlet muda itu dah sampai ke peringkat sepatutnya.
“Kali ini kita fokus kepada prestasi dan harap prestasi yang dipamerkan akan meningkat apabila Malaysia menjadi tuan rumah 2027,” kata Norza selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA Thailand 2025 di Wisma MOM hari ini.
Bagaimanapun, Norza memberi bayangan kemungkinan terdapat sedikit kelonggaran untuk satu atau dua jenis sukan yang masih baharu, bagi memberi pendedahan kepada atlet dan membantu pembangunan persatuan terlibat.
“Mungkin sukan-sukan yang kita itu buat pertama kalinya, kita nak bagi mereka semangat untuk dedahkan atlet untuk membantu persatuan itu.
“Tetapi selain itu, konsep dan tema betul-betulnya agar kehadiran kita dapat dirasai dan menerusi prestasi itu kita dapat membina momentum pada Sukan SEA 2027,” katanya.
Sementara itu, Norza menyerahkan sasaran pingat kepada pihak yang sepatutnya lebih terlibat dengan persediaan atlet ke temasya berkenaan.
“Senarai akhir atlet pada 1 September dan kita sudah ada senarai itu, sekarang atlet sedang dalam persiapan dan ada kejohanan-kejohanan pada Ogos dan September,” katanya. – KOSMO! ONLINE