KUALA LUMPUR – Status sebagai juara Asia menjadi faktor utama beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diturunkan ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Jepun pada aksi Kumpulan C saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China minggu lalu.
Pemilihan beregu No. 4 dunia itu ketika turun bertemu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menjadi pertikaian selepas mereka tewas 21-12, 20-22, 21-23 sekali gus membolehkan Jepun menyamakan kedudukan 2-2.
Sekiranya Aaron-Wooi Yik menang, Malaysia akan menjadi juara Kumpulan C dan mendapat undian lebih mudah di suku akhir, namun kekalahan itu menyebabkan pasukan negara terpaksa berdepan China dan tewas 0-3.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, aksi ditampilkan anak-anak buahnya itu sudah cukup baik, namun faktor tuah menjadi pemisah memandangkan mereka tewas dengan perbezaan mata cukup tipis.
“Prestasi Aaron-Wooi Yik memang sudah cukup baik tetapi kalah dengan Jepun disebabkan nasib kerana mereka menang set pertama sebelum tewas dua set berikutnya. Kalau secara keseluruhan, permainan sudah bagus.
“Rekod pertemuan (Hoki-Kobayashi) jauh beza tetapi ia sudah lama. Aaron-Wooi Yik sudah bergelar juara Asia dan kehangatannya masih terasa, sebab itu kita menurunkan mereka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Ketika bertemu Jepun, Malaysia meletakkan harapan ke atas Aaron-Wooi Yik untuk mengutip mata ketiga yang akan memastikan pasukan negara menjadi juara Kumpulan C dan mendapat undian lebih mudah, namun hampa.
Sementara itu, Herry yang terkenal dengan julukan Naga Api menjelaskan, Aaron-Wooi Yik menyuarakan keyakinan untuk turun beraksi sebelum pertemuan dengan Jepun dan keputusan dibuat secara sebulat suara.
“Mereka juara Asia dan permainan sudah baik, cuma kalah dua mata. Kita nak turunkan Aaron-Wooi Yik kerana mereka memang yakin, ditambah pula dengan status juara Asia,” ujarnya.
Sebagai rekod, Malaysia terus kempunan untuk memenangi kejohanan berpasukan campuran itu dengan pencapaian terbaik adalah layak ke separuh akhir sebanyak tiga kali pada edisi 2009, 2021 dan 2023. – KOSMO! ONLINE