PETALING JAYA – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melantik ketua jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini sebagai pengendali baharu skuad hoki remaja lelaki kebangsaan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja di India hujung tahun ini.
Pelantikan itu diumumkan selepas jurulatih terdahulu, I. Vikneswaran memutuskan untuk memberi tumpuan penuh terhadap pembangunan hoki di bawah Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) susulan kejayaannya mempertahankan jawatan sebagai presiden badan induk itu baru-baru ini.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan keputusan melantik Nor Saiful dibuat secara sebulat suara selepas perbincangan bersama jawatankuasa kejurulatihan dan pihak pengurusan TNB iaitu majikan kepada jurulatih tersebut.
“Saiful dipilih menerajui pasukan remaja ke Piala Dunia dan tempoh pelantikannya akan berlangsung selama tiga tahun. Kita mahu wujudkan kesinambungan dalam pembangunan bakat muda dan tidak mahu persiapan dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.
Nor Saiful bukan nama asing dalam pembangunan skuad remaja apabila pernah mengendalikan pasukan sama pada edisi 2016 dan 2020 yang mana ketika itu Young Tigers berjaya mara ke suku akhir.
“Saya pernah bimbing pasukan pada 2016 dan 2020. Ramai pemain seperti Amirul Hamizan (Azahar) dan Akhimullah (Anuar Esook) muncul daripada skuad itu dan kini sudah bermain bersama skuad senior. Saya harap dapat ulangi kejayaan melahirkan pemain berkualiti seperti itu,” kata Nor Saiful.
Mengulas persiapan ke Piala Dunia dijadual berlangsung dari 29 November hingga 10 Disember ini, Nor Saiful berkata, seramai 30 hingga 33 pemain muda dikenal pasti hasil pemantauan sepanjang Liga Hoki Malaysia berlangsung.
“Kita mahu cari pemain yang matang dan mampu menyesuaikan diri dengan hoki antarabangsa dalam masa enam bulan. Fokus kita bukan semata-mata kedudukan, tetapi memastikan pemain beri persembahan terbaik dan pulang sebagai pemain yang lebih baik untuk masa depan skuad senior,” jelasnya.
Legenda hoki kebangsaan itu turut menjelaskan sesi latihan pertama dijangka bermula minggu hadapan melibatkan pelatih daripada sekolah sukan, universiti dan beberapa kelab yang pernah bersaing dalam saingan domestik.
“Kita akan segera hubungi pemain-pemain ini secara rasmi mengikut prosedur sekolah dan institusi masing-masing. Kita tidak mahu bertangguh kerana persiapan jangka panjang sangat penting untuk kejohanan besar seperti Piala Dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE