MIAMI – Masa depan pelumba muda Australia, Jack Doohan dalam Formula Satu (F1) semakin tidak menentu susulan timbul spekulasi bahawa tempatnya bersama Alpine mungkin digantikan seawal perlumbaan seterusnya di Imola, Itali.
Pelumba berusia 22 tahun yang juga anak legenda Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Mick Doohan itu masih gagal meraih sebarang mata selepas nengharungi enam perlumbaan musim ini, malah tidak pernah meraih kedudukan lebih baik daripada tempat ke-14.
Insiden di Grand Prix (GP) Miami hujung minggu lalu menyaksikan Doohan terpaksa bersara awal selepas terlibat pelanggaran dengan pelumba Racing Bulls, Liam Lawson di pusingan pertama.
Berdasarkan laporan, pihak pengurusan Alpine sedang menilai kedudukannya dan tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pelumba simpanan, Franco Colapinto dari Argentina sebagai pengganti.
Colapinto yang dipinjamkan dari Williams sebelum ini beraksi sembilan kali musim lalu, menggantikan Logan Sargeant dan berjaya mengutip lima mata termasuk penamat di tempat kelapan di Azerbaijan.
Ketua pasukan, Ollie Oakes turut membatalkan sidang media pasca perlumbaan di Miami dan ketika ditanya lebih awal sebelum itu, beliau hanya mengesahkan Doohan masih kekal dalam pasukan buat masa ini.
“Setakat hari ini, Jack (Doohan) masih pelumba kami bersama Pierre (Gasly). Kami sentiasa membuat penilaian tetapi buat masa ini itulah keadaannya.
“Spekulasi sentiasa ada tetapi Jack perlu terus buktikan kemampuan. Kami sudah jelaskan, itu cuma bunyi bising dari luar,” ujarnya.
Doohan juga memilih untuk tidak melayan khabar angin dan kekal fokus menjelang perlumbaan di Eropah.
“Kami ada masa seminggu untuk ‘reset’ dan bersedia hadapi tiga perlumbaan berturut-turut di Eropah. Itu fokus saya sekarang,” katanya. – AGENSI