BAGAN SERAI – Pemilik tanah berbangsa Cina yang memiliki tanah tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di sini hari ini bersetuju untuk menjual semula tanah tersebut kepada pihak masjid.
Perkembangan itu dilihat mampu menyelamatkan masjid tersebut yang berusia hampir 100 tahun dan popular dalam kalangan penduduk setempat kerana mempunyai rekaan seperti Menara Berkembar Petronas KLCC.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali berkata, pengerusi masjid hari ini telah menghubungi tuan tanah yang akhirnya bersetuju untuk berurusan dengan pihak masjid terlebih dahulu dalam usahanya melepaskan pegangannya.
“Saya bangga dengan langkah ini. Boleh dikatakan ini contoh pertama yang mana semua kutipan derma daripada semua masjid di negeri ini disalurkan untuk tabung ini. Ini satu perkembangan yang sangat melegakan,” katanya di sini hari ini.
Perak semalam bersetuju mengumpulkan kutipan derma solat Jumaat di negeri ini bagi menebus semula tanah masjid tersebut, yang pada awalnya diwakafkan untuk pembinaan masjid tetapi telah dijual kepada pembeli bukan Islam pada tahun 2012.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, anggaran nilai tanah berkenaan ialah RM1.8 juta.
Saarani melihat kutipan semasa solat Jumaat yang terkumpul mencecah sebanyak RM5 juta hingga RM7 juta sebulan boleh digunakan untuk menyelamatkan masjid tersebut dan menunjukkan solidariti umat Islam Perak.
Difahamkan lokasi Masjid Jamek Ar-Ridzuan menjadi sebahagian daripada keseluruhan tanah yang dimiliki oleh pemilik tersebut. Pemilik dikatakan yang bersetuju untuk menjual keseluruhan tanah, bukan sekadar tapak masjid itu sahaja.
Dikatakan juga, usaha awal pernah digerakkan termasuk menyediakan tabung kutipan khas untuk menebus semula tanah tersebut, tetapi tidak berjaya.
Noor Azman melihat perkembangan positif ini mampu menamatkan masalah yang telah berlarutan selama 12 tahun. – KOSMO! ONLINE