GEORGE TOWN – Sektor pelancongan Pulau Pinang terus menunjukkan momentum luar biasa apabila berjaya mengatasi pencapaian era prapandemik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata, prestasi memberangsangkan itu mencerminkan keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Pulau Pinang, hasil usaha berterusan kerajaan negeri dan sokongan padu pihak industri.
”Data terkini menunjukkan Bukit Bendera mencatat 426,308 pengunjung pada suku pertama 2025, melebihi rekod 421,027 pada tempoh sama tahun 2019.
”Ini jelas membuktikan pemulihan pelancongan bukan sahaja berlaku, tetapi mengatasi tahap sebelum pandemik,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hon Wai, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pula kini menjadi lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas KLIA, dengan 320 penerbangan antarabangsa mingguan, peningkatan berbanding 284 penerbangan pada Februari 2019.
”Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, kekerapan penerbangan antarabangsa meningkat 54 peratus. Ini menandakan kepercayaan berterusan syarikat penerbangan global terhadap Pulau Pinang,” ujar beliau.
Selain itu, jelas beliau, Pulau Pinang menerima sebanyak 8.24 juta tetamu hotel pada tahun 2024, meningkat 13.3 peratus berbanding tahun sebelumnya malah kadar penghunian hotel juga kekal tinggi khususnya di Batu Ferringhi dan Georgetown.
Hon Wai memaklumkan, pertambahan 2,200 bilik hotel baharu antara suku pertama 2024 hingga suku pertama 2025 turut menunjukkan pelabur yakin terhadap prospek pelancongan negeri itu.
Terang beliau, antara tarikan baharu yang diperkenalkan termasuk Gurney Bay, Entopia by Night iaitu Taman Bioluminescent pertama di dunia Galeri Sejarah Pulau Pinang dan Escape Theme Park yang kini memegang empat rekod Guinness World Records.
“Pulau Pinang sedang giat melaksanakan pelbagai projek pelancongan seperti Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah dan Muzium Negeri yang dijangka siap menjelang VMY2026,” katanya. -KOSMO! ONLINE