Suami Datin Seri Pamela salah seorang suspek?

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Siasatan dalam kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh tertumpu ke arah suaminya iaitu, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes masih lagi sedang disiasat dengan mengambil kira kemungkinan individu lain turut terlibat sebagai suspek.

Ujarnya, setakat ini polis telah merakam sebanyak 16 percakapan termasuk suami mangsa dan saksi-saksi penting lain.

“Siasatan kita kini menjurus kepada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), saksi-saksi lebih 16 orang termasuk suami mangsa.

“Siasatan juga mendapati kemungkinan ke arah itu (suami mangsa sebagai suspek). Namun siasatan belum lengkap, kita percaya ada orang lain yang kita akan ambil sebagai suspek,” katanya.

Tambah Razarudin, semakan mendapati suami mangsa ada di dalam negara manakala rakaman percakapan anak-anak di Singapura juga akan diambil bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata satu arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menubuhkan pasukan bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh Polis Kuala Lumpur.

Ujarnya, siasatan juga diteruskan bagi menyiasat kenyataan pemandu e-hailing mengenai individu yang menculik Pamela memakai pakaian uniform polis.

“Mengenai apa yang dikatakan oleh pemandu e-hailing ada org pakai pakaian polis, siasatan kita teruskan untuk menentukan sama ada ini penyamar polis atau mmg polis sebenar yang membuat onar.

“Jika betul yg itu (anggota polis sebenar), kita takkan bertolak ansur. Sebelum ini pun mana-mana anggota terlibat dengan kes jenayah, memang kita tuduh di mahkamah,” katanya.

Ditanya sama ada keberadaan Pamela masih berada dalam negara memasuki hari ke-27 kehilangannya, Razarudin tidak mahu mengulas kerana itu masih dalam siasatan pihaknya.

Sementara itu, Razarudin berkata, beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat khas yang akan diadakan dalam masa terdekat berhubung kehilangan Pamela bersama pegawai penyiasat bagi mendapatkan perincian lebih lanjut.

Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu.

Misteri kehilangan wanita itu menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Difahamkan, Pamela bersama suaminya dalam proses penceraian yang rumit membabitkan harta bernilai tinggi.

Menurut peguam, Datuk N. Sivananthan, Pamela dan suaminya juga sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes penggubahan wang haram.

Untuk rekod, Thomas Hah merupakan pengasas sebuah syarikat konglomerat meliputi pengurusan hartanah, perladangan, perhutanan, pelaburan, dan perkapalan.

Kesemua entiti syarikat itu yang bertapak di Miri, Sarawak didapati melabur dalam pelbagai pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Australia, Papua New Guinea, China, dan New Zealand.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |