MELAKA – Dua lelaki disyaki melakukan kegiatan mencuri kabel nekad melarikan diri dengan memandu sebuah Toyota Hilux secara melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) selepas kenderaan dinaiki mereka cuba diperiksa polis, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, suspek turut merempuh empat kenderaan lain di lebuh raya termasuk sebuah lori sebelum dikepung dan ditahan oleh unit kereta peronda (MPV) di Kilometer 216.8, pada pukul 5.30 pagi.
Seorang suspek berusia 29 tahun beralamat di Teluk Intan, Perak berjaya diberkas, manakala rakan sejenayah lolos selepas melarikan diri ke seberang jalan lebuh raya.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku selepas sepasukan unit MPV mengesan kenderaan dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di Taman Teknologi Cheng.
“Semasa menghampiri kenderaan tersebut, pemandu kenderaan terus melarikan diri ke jalan Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Cheng dan dikejar unit MPV melalui Krubong, Paya Rumput, Durian Tunggal sehingga Plaza Tol Ayer Keroh.
“Sampai di plaza tol Ayer Keroh, suspek telah merempuh palang tol dan memandu melawan arus keluar ke lebuh raya menghala ke Johor sebelum menukar arah ke Kuala Lumpur dengan cara membuat pusingan U di susur masuk dari Johor,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan Ops Tutup telah dilakukan dengan bantuan tiga unit MPV lain yang berada di lapangan untuk mengepung dan menahan kenderaan suspek.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan menjumpai 44 batang wayar kabel yang kita percaya merupakan hasil curi.
“Seorang suspek juga pemandu Hilux berjaya diberkas dan semakan lanjut mendapati dia mempunyai 14 rekod lampau jenayah serta enam membabitkan kes narkotik,” ujarnya.
Katanya, suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Habis.