Tun M saran pembaharuan kawasan Melayu dibangunkan oleh GLC

6 hours ago 1

PETALING JAYA – Kawasan Melayu di bandar yang hendak diperbaharui boleh dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, PNB mampu mendirikan bangunan tertinggi 118 tingkat, manakala KWSP memiliki dana yang terbesar.

“Kuala Lumpur mengutip jumlah zakat terbesar. Tabung Haji juga memiliki banyak modal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir berkata, terdapat cara untuk membaharui kawasan Melayu supaya lebih sesuai dengan bandar moden.

Kata beliau, Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur dan Resort Bon Ton di Langkawi, Kedah antara contoh memiliki identiti Melayu.

Ujar beliau, terdapat ramai arkitek di Malaysia yang mampu mereka bentuk bangunan mempunyai bentuk dan ukiran Melayu.

“Bangunan sampai sepuluh tingkat pun boleh didirikan. Tingkat-tingkat boleh mempunyai flat mewah di tingkat atas, separuh mewah di tingkat menengah dan murah di tingkat bawah.

“Tingkat bawah boleh disedia kedai-kedai comel untuk peniaga kecil. Dinding boleh dilipat supaya dua atau tiga kedai disatukan. Ini sesuai untuk restoran,” katanya.

Tambah beliau, perniagaan runcit yang berlainan boleh diadakan di tingkat bawah dan kedai-kedai comel itu boleh menjual kraf tangan berlainan jenis.

Kata beliau, tingkat satu atas boleh dijadikan tempat pameran, batik, songket, kain tenun dari Sarawak dan Sabah, keris dan lain-lain.

Katanya, barangan buatan Orang Asli juga boleh ditempatkan di tingkat dua, manakala di tingkat dua atau tiga boleh diadakan ‘bowling alley’ dan lain-lain senaman.

Jelas Dr. Mahathir, pembangunan istimewa berbentuk Melayu boleh menarik pelancong dalam dan luar negara.

“Memanglah kawasan Melayu dengan rumah robek, berdinding papan reput dan bumbung zink karat perlu diperbaharui, tetapi janganlah dengan menghalau penduduk Melayu sehingga bandar ternampak sebagai negara lain

“Amat menyedih apabila pelawat asing dibawa ke Kampung Baru yang tidak mencermin kemajuan yang sudah dicapai oleh orang Melayu Kuala Lumpur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |